Selasa, 27 Oktober 2015

Pengalaman Hidup Di UUM



Alhamdulillah syukur kerana akhirnya aku dapat juga menyambungkan pelajar di universiti. Aku dapat menyambungkan pelajaran peringkat ijazah di Universiti Utara Malaysia dalam bidang komunikasi. Sekali lagi aku bersyukur kerana mendapat universiti yang berdekatan dengan rumahku. Tidaklah membebankan keluarga aku untuk mengeluarkan kos yang banyak untuk menghantar aku ke universiti seperti kawan yang lain yang tinggal jauh. Yalah, mana tidaknya rumah aku ke UUM hanyalah mengambil masa 20 minit sahaja. Pada 17 September 2014, aku mendaftarkan diri sebagai mahasiswa UUM dengan rasminya. Semasa pendaftaran kakakku seorang sahaja yang hantar aku kerana barang aku terlalu banyak sehingga tiada tempat di dalam kereta untuk orang lain duduk. Gaya barang aku mengalahkan orang yang tinggal jauh.
Aku mendaftarkan diri di dewan Kachi dan tinggal selama 3 hari bagi program suai kenal pelajar baru. Semasa orentasi aku mendapat kawan semuanya  dari kedah yang tinggal berdekatan dengan UUM juga. Ramai juga kawan sekolah aku yang dapat sama kos dan sama universiti dengan aku, lebih kurang 10 orang jugalah. Rakan sebilik aku semasa suai kenal juga orang kedah yang tinggal di Gunung Keriang. Boleh dikatakan semua kawan aku di sini orang kedah, disebabkan itu mudah bagi aku nak berkomunikasi dan mudah bagi aku untuk bergaul. Orentasi selama 3 hari memberi aku pengalaman dan kenangan bersama mereka yang tidak pernah aku kenali. Walaupun orang kata minggu suai kenal adalah yang membosankan tetapi bagi aku biasa sahaja. Terdapat pelbagai aktiviti yang dilakukan semasa minggu suai kenal seperti sukaneka, senaman aerobik, permainan uji minda, dan juga lawatan ke bilik kuliah. Selesai program suai kenal kami balik ke Dewan Penginapan Pelajar (DPP) masing-masing. Berdasarkan surat tawaran  aku ditempatkan di DPP Sime Darby yang terletak di dalam yang dipanggil laluan B.

Hari pertama aku ke  kuliah begitu mendebarkan dan perasaan takut menyelubungi diriku mana tidaknya risau pensyarah garang dan tidak tahu cara belajar di universiti bagaimana. Pada pagi itu aku masuk ke kelas yang pertama, tunggu punyalah tunggu rupanya kelas batal. Aku rasa lega, selepas itu aku tunggu untuk masuk ke kelas yang kedua pula. Semasa menunggu pensyarah aku sempat berkenalan dengan beberapa orang rakan kelas aku yang duduk berhampiran aku. Tidak lama kemudian pensyarah masuk, aku pun lihat pensyarah itu dan membuat tanggapan ia baik dan mudah untuk berkomunikasi. Dalam masa dua jam aku mendapati  cara pembelajaran di universiti agak berbeza dengan di sekolah.
Selepas sehari demi sehari aku menjalani kehidupan di universiti aku berasa begitu bertuah kerana diberi peluang melanjutkan pelajaran di universiti. Semasa semester pertama pelbagai dugaan dan cabaran aku hadapi dalam membuat tugasan yang diberikan oleh pensyarah. Mana tidaknya aku tidak tahu bagaimana cara membuat assignment yang betul. Setelah itu barulah aku tahu cara membuat assignment selepas bertanya senior dan pensyarah. Aku masih ingat lagi semasa hari pertama aku masuk kelas terus dapat tugasan individu yang perlu dihantar tidak lama lagi. Bayangkan aku baru masuk, belajar pun belum lagi sudah mendapat tugasan. Aku pun buat muka tidak tahu malu bertanya rakan sekelas yang sudah lama masuk dari aku. Yalah aku kan  budak panggilan kedua. Sesetenggah orang pandang kami yang panggilan kedua ini agak kolot dan tidak berapa pandai. Aku tahu mereka pandang rendah pada kami selepas aku terdengar ada seorang yang berkata negatif pasal kami. Pada masa itu, aku berasa marah dan lemah untuk belajar tetapi bila mengenangkan niat aku dan arwah ibu bapaku, aku harus kuat dan membuktikan aku juga boleh berjaya seperti orang lain. 

Tidak lama lagi peperiksaan akhir semester pertama, aku begitu risau untuk menghadapinya. Walaupun aku sudah mengulangkaji pelajaran ia tetap menghantui aku. Namun hanya doa dan usaha aku mampu mengharunginya. Alhamdulillah aku sudah selesai menjawab peperiksaan akhir semester pertama. Bermulalah cuti semester yang ditunggu-tunggu oleh semua orang begitu juga aku. Masa cuti ini lah aku ingin merehatkan minda selepas bertungkus lumus mengeluarkan idea menjawab peperiksaan dan membuat tugasan. Apa yang aku fikirankan cuti ini aku ingin menghabiskan masa bersama keluarga tersayang dan melakukan kerja berfaedah di kampungku. Sedar tidak sedar  sudah hampir habis cuti semester.
Semester  kedua bermula, aku masih tinggal di DPP yang sama iaitu Sime Darby. Aku tinggal dengan rakan sebilik yang sama lagi iaitu Farzana, dia sekarang semester 4. Minggu pertama  biasanya kuliah jarang ada kerana minggu gugur tambah subjek. Oleh kerana aku masih rajin semua kelas aku pergi walaupun kehadiran tidak diambil. Semester ini aku ambil 6 subjek dengan kelas sama rata, iaitu 3 subjek setiap hari.  Tidak lupa aku punya kokurikulum Siswaniaga pada hari sabtu,  kokurikulum adalah diwajibkan oleh semua orang selama empat semester. Kokurikulum aku agak menyeronokkan juga kerana aku mendapat ilmu perniagaan. Aku sebenarnya minat perniagaan mungkin kerana aku ini keturunan orang perniagaan. 
Semester ini seperti biasa macam semester lepas dengan tugasan dan kerenah kawan-kawan yang bermacam-macam. Kali ini aku punya tugasan banyak kena buat video, dah la tak pandai bab buat video  dengan nak edit lagi. Ini menjadi cabaran bagi aku dan rakanku yang turut tidak tahu berkaitan video. Tapi atas berkat sabar dan sering bertanya akhirnya kami berjaya menghasilkan video yang agak baik jugalah. Aku turut melibatkan diri dalam program DPP sebagai ajk iaitu ‘Explores Perdana’. Aku juga mendapat ilmu daripada aktiviti ini seperti cara menguruskan program dan melakukan tugasan berkumpulan dengan orang yang tidak dikenali.  Aku sangat gembira dapat melibatkan diri dalam aktiviti seperti ini kerana ia menyakinkan aku boleh melakukan kerja dengan ilmu dan tenaga yang aku ada.
 

Pada semester ini juga meninggalkan kenangan pahit bagi aku kerana aku kehilangan orang tersayang yang menjaga aku iaitu datuk aku. Semasa aku sibuk dengan tugasan, video dan pembentangan aku terpaksa membahagikan masa menjaga datukku di hospital. Nasib begitu menyebelahi aku kerana pada minggu itu, aku tidak banyak kelas yang perlu hadir dan terdapat cuti. Aku dinasihatkan oleh kawanku agar balik melihat datukku yang tenat dan tidak perlu risaukan tugasan kumpulan. Aku juga meminta izin pensyarah yang mengajarku untuk diberi kebenaran tidak hadir kuliah kerana hal kecemasan. Aku juga sering ulang alik ke UUM  untuk hadir kuliah dan melakukan tugasan aku. Aku dan kakakku bergilir-gilir menjaga datukku di hospital. Semasa aku menjaga datukku di hospital malam itu aku terlupa yang aku perlu menjawab kuiz online tapi aku tidak dapat menjawabnya kerana tiada internet. Aku terus menghantar mesej kepada pensyarah dan menerangkannya kenapa dan juga memohon maaf atas kecuaian aku. Tidak dapat aku lupa, aku membuat tugasan di hospital, sekali lagi nasib menyebelahi aku untuk membawa komputer riba ke hospital setelah balik dari kelas aku terus ke hospital. Sempat juga aku menyiapkan bahagian tugasan aku yang perlu dihantar kepada rakanku untuk digabungkan dan dihantar pada keesokannya.
Sehari sebelum datukku meninggal aku sudah dikhabarkan oleh kakakku agar balik ke rumah kerana keadaan datukku sangat la tenat. Kakakku datang mengambil aku di DPP dan terus pergi hospital, pada masa itu aku berasa sangat sebak dan sedih bila mengetahui datukku semakin tenat. Tiba di hospital aku dan ahli keluarga yang lain membacakan yassin. Ramai juga orang datang melawat datukku pada masa itu, seorang abangku baru  sampai dari Kuala Lumpur.  Kami semua tidur di hospital pada malam itu dan mengambil langkah berjaga-jaga. Pada keesokannya kami masuk ke wad untuk melihat datukku, terdapat dua orang jururawat sedang melakukan sesuatu pada datukku dengan memasang perbagai alat dan wayar pada badan datukku. Datukku sudah tidak boleh bercakap dan membuka matanya ia hanya bergantung kepada alat pernafasan. Lebih kurang pada jam 3 petang datukku menghembuskan nafas terakhirnya pada masa itu aku dan dua orang kakakku baru sahaja keluar rumah untuk pergi ke hospital. Seorang kakakku menelefon aku menyatakan datukku sudah meninggal. Aku menelefon abangku dirumah agar memberitahu orang kampung tentang kematian datukku. Sementara menunggu proses pengurusan jenazah oleh pihak hospital kami mengemas barang-barang yang dibawa untuk dibawa pulang. Sampai sahaja dirumah kami sudah bersiap sedia untuk majlis pengubumian pada malam itu selepas isyak. Alhamdulillah selamat sudah pengubumian datukku.
Pada hari ahad itu aku hadir ke kelas dan memberikan sijil kematian yang membuktikan aku mempunyai sebab tidak hadir ke kelas pada minggu lepas. Aku masih dalam keadaan sedih dan murung pada minggu itu.  Selepas itu, aku menjalani kehidupan di universiti seperti biasa dan kembali ceria. Apa tidaknya aku sudah hampir peperiksaan akhir semester kedua. Selesai sahaja peperiksaan akhir aku pulang ke rumah dan bermulalah cuti semester yang dinantikan. Aku habis peperiksaan awal dari yang lain kerana subjek aku semuanya bermula awal dan habis awal.
Semester ketiga bermula dengan rasminya aku masih lagi tinggal di DPP dan rakan sebilik yang sama. Semester ini membuatkan aku bimbang dan takut menghadapi tugasan dan peperiksaan akhir. Kali ini aku punya subjek agak berat dan banyak tugasan dalam Bahasa English. Aku semester ini sudah menjadi senior dan semakin ramai kawan di kelas dan di DPP. Aku gembira dapat membantu junior dalam sesetenggah subjek yang mereka ambil dan aku tahu kerana aku juga dulu meminta bantuan senior dalam membuat tugasan dan sebagainya. Apa salahnya aku membantu mereka pula kerana ilmu perlu dikongsi barulah ia memberi berkat dalam kehidupan kita. Aku sangat gembira apabila kawan-kawanku dari Kolej Alpha membuat lawatan sambil belajar di UUM. Mereka adalah pelajar dibawah UUM dalam bidang komunikasi tetapi hanya tempat belajar di Kolej Alpha. Akhirnya dapat juga aku berjumpa dengan mereka selepas setahun tidak pernah berjumpa. 
Pada awalnya aku tidak la sibuk dengan tugasan dan masih boleh berehat. Tetapi sekarang aku sangatlah sibuk menyiapkan tugasan yang perlu dihantar sebelum cuti mid sem. Itulah balasan aku kerana asyik menangguhkan kerja kerana asyik fikir lambat lagi perlu dihantar. Kini aku sudah tidak ada masa untuk berehat dan bersuka ria seperti orang lain. setiap malam terpaksalah aku bersengkang mata menyiapkan kerja.  Kali ini aku tidaklah seaktif semester lepas kerana aku tidak mengambil bahagian dalam aktiviti DPP.  Tetapi baru-baru ini aku terlibat dengan program kokurikulum yang melibatkan kelas siswaniaga aku dalam menguruskan program Kegiatan Luar Kuliah (KLK) yang bertemakan ‘Mahasiswa UUM Bersama Komuniti Mukim Sungai Laka”. Bukan senang menguruskan program besar seperti itu yang memerlukan kerja keras semua ahli yang terlibat. Aku merupakan ahli jawatankuasa jemputan yang dilantik untuk menyediakan surat menjemput vvip dan jkkk kampung yang terlibat. Selain itu, aku juga membantu rakan lain melakukan kerja bagi memastikan program itu berjalan dengan lancar. Ini merupakan pengalaman dan ilmu yang aku perolehi bagaimana menguruskan program dan menyediakan kertas kerja. Sesuatu yang baru bagi aku dan dapat juga aku melakukan kerja bersama orang kampung yang terlibat. Jujur aku katakan memang penat menguruskan program seperti itu tapi ia mengembirakan.
 
 Aku berharap semester ini dan seterusnya aku akan lebih komited dan bersungguh-sungguh dalam pelajaran demi segulung ijazah. Sampai disini sajalah yang mampu aku kongsikan pengalaman dan kenangan aku di Universiti Utara Malaysia selama hampir 3 semester ini. Terima kasih membaca nukilan aku yang tidak seberapa ini.

6 ulasan:

  1. Teringat pengalaman di uum...banyak kenangan manis dan pahit ...pelajar acc batch 2002-2006...kolej bukit kachi 1

    BalasPadam
  2. Salam kak,saya bakal student uum. Kelab siswaniaga tu mcmna? Tq 😊

    BalasPadam
  3. Salam kak,saya bakal student uum. Kelab siswaniaga tu mcmna? Tq 😊

    BalasPadam
    Balasan
    1. waalaikumsalam... maaf lambat replay.. siswaniaga dia belajar pasal selok belok menjalankan perniagaan.

      Padam
  4. Salam Biru Warna. Semoga senior terus berjaya dalam kehidupan.

    BalasPadam