Rabu, 14 Oktober 2015

PENGENALAN DIRI



Percintaan suci antara Saad dan Ramlah yang telah berputik sekian lama membuahkan hasil maka lahirlah Siti Jamilah. Lahirnya pada 4 mac 1994 pada jam 3 pagi yang hening. Begitu kecil sehingga ia hanya seberat 1.55 kg sahaja. Kenapa ia begitu kecil? Rupa-rupanya terdapat  seorang lagi didalam kandungan perut ibuku. Ibuku melahirkan sepasang kembar yang berlainan rupa paras dan warna kulit tetapi sama jantinanya. Aku dilahirkan di hospital di bandar yang diberi nama Hospital Besar Alor Star yang pertama terdapat di bandar itu. Lahirnya aku dan kembarku memberi kegembiraan kepada keluarga besarku yang mencukupi pasangan masing-masing. Lima orang putera dan lima orang puteri dalam keluarga menceriakan pasangan Saad dan Ramlah sekeluarga. Akulah yang bongsu, akulah adik, akulah yang paling manja dan akulah yang paling disayangi semua dalam keluarga. Disebalik nama gelaran yang diberi oleh keluarga dan orang kampung ia mempunyai maksud tersirat disebalik kelahiran aku dan kembarku. Aku diberi gelaran nama Tam kerana semasa dilahirkan kulitku sedikit gelap berbanding kembarku yang agak cerah. Aku juga dipanggil dengan gelaran itu kerana sering menangis ketika kecil, apabila mereka memanggil nama gelaranku aku pasti akan berhenti menangis. Begitulah kisah disebalik nama Tam yang masih kekal digunakan oleh keluarga, rakan-rakan dan orang sekeliling yang mengenali aku.


Kehidupan aku hanyalah sederhana dengan bilangan adik beradik yang ramai. Ayahku hanyalah bekerja sebagai pemandu teksi dan ibuku seorang penoreh getah. Aku dibesarkan hasil titik peluh mereka mencari wang untuk memberikan aku pelajaran, keselesaan dan keperluan lain bagi aku dan adik beradikku  dapat meneruskan kehidupan yang lebih baik. Kami bersyukur kerana diberikan ibu bapa yang baik, sangat menyayangi dan memahami kami. Ketika aku masih kecil aku dan kembarku selalu diberi perhatian oleh keluarga. Oleh itu masa kecilku sangat bermakna bagiku untuk dilupakan. Aku dan kembarku sentiasa mempunyai pakaian, kasut dan peralatan yang sama dalam menjalani kehidupan seharian. Pada hari raya atau majlis perkahwinan kami akan memakai pakaian dan kasut yang sama. Ini meninggalkan nostalgia kanak-kanakku yang indah bagiku yang sukar diperolehi.  Oleh kerana kami sepasang kembar ibu bapaku membeli pakaian yang sama agar kami tidak berkelahi dan juga melambangkan kami sepasang kembar. Orang lain pasti akan mengetahui kami kembar kerana memakai pakaian yang sama. Perasaan gembira dan rasa lebih dikenali apabila aku  memakai pakaian yang sama dengan kembarku walaupun wajah kami berlainan. Kami berpakainan sama sehingga umur 8 tahun sahaja selepas itu kami sudah pandai memilih pakaian kesukaan masing-masing apabila mahu keluar jalan-jalan ataupun hari perayaan. Kenangan manis yang tidak dapat aku lupakan sehingga kini.
                               
Ketika umurku 13 tahun aku kehilangan orang tersayang yang amat aku perlukan untuk meneruskan kehidupan mendatang. Ibuku menghembuskan nafas terakhir pada 24 Mei 2007 pada jam 7.30 malam di rumahku yang terletak di Kampung Cherok Mokkan. Ibuku meninggal kerana demam panas dan baru sahaja pulih dari ditimpa kayu pondok di kebun yang telah menyebabkan ia tidak dapat berjalan selama sebulan. Ibuku seorang yang sangat penyayang, baik hati dan berkerja kuat demi membantu ayahku menyara kami sekeluarga. Ibuku juga kadang kala menjual cendol di kedai runcit bagi menambah pendapatan sampingan. Apabila waktu petang kawan-kawanku akan datang bermain dengan aku disamping ingin mendapat habuan apabila mencabut uban di kepala ibuku. Kehidupan aku semakin suram selepas ketiadaan ibuku. Aku berasa kehilangan yang teramat dan aku tiada lagi tempat untuk bermanja dan meluahkan perasaaan. Aku yang selalu mengikuti ibuku kemana jua tidak kiralah ke ladang getah, sawah padi, hutan dan dimana sahaja. Hanya aku yang berminat melakukan kerja-kerja ini berbanding adik beradikku yang lain. Aku boleh dikatakan anak kampung asli yang sanggup dan berminat melakukan kerja-kerja kampung pada usia belasan tahun.
Sekali lagi aku kehilangan orang yang tersayang tidak lama kemudian. Tahun 2008 telah meninggalkan noktah hitam buat aku pabila aku kehilangan ayahku ia telah menghembuskan nafas terakhir di Hospital Jitra pada 30 Julai 2008 jam 6 pagi kerana kencing manis. Selepas kematian ibuku kesihatan ayahku semakin teruk sehingga setiap bulan berulang-alik ke hospital. Ayahku menjalani pembedahan membuang sebelah kaki kirinya akibat ibu jari kakinya telah hitam dan ia semakin merebak. Ayahku menjalani pembedahan di Hospital Sultanah Bahiyah Alor Star. Hospital sudah menjadi rumah kedua bagi kami sekeluarga selepas pembedahan itu kerana kesihatan ayahku semakin teruk. Dalam masa dua bulan selepas pembedahan ayahku menghembuskan nafas terakhirnya. Banyak kenangan manis aku bersama ayah dan ibuku yang masih segar diingatan. Apabila di rumah hanya aku seorang yang akan membuatkan minuman untuk ayahku kerana ayahku hanya akan meminta aku membuatkan minuman untuknya dan juga menyimpan wangnya kerana ia mempercayai aku boleh menjaganya dengan baik. Tetapi ada perkara yang aku amat kesali sehingga kini kerana tidak dapat memenuhi permintaan terakhir  ayahku untuk menjaganya pada malam ia menghembuskan nafas terakhir. Pada malam itu kembarku sahaja dibenarkan oleh jururawat untuk menjaga ayahku. Aku tidak dibenarkan kerana hanya seorang sahaja yang boleh menjaga ayahku pada masa itu. Ayahku sempat berpesan kepada kakak dan abangku agar menjaga aku dengan baik dan memberikan apa yang aku mahukan. Apabila aku mengetahui pesanan ayahku aku berasa sangat menyesal kerana tidak dapat menjaganya pada malam itu kerana itu lah permintaan terakhir ayahku terhadap aku. 
                               
                                        
 Kehilangan kedua ibu bapaku membuatkan aku rasa lemah dan tidak mahu meneruskan hidup. Tapi apabila aku berfikir aku mahu membanggakan mereka dan membantu mereka di akhirat aku kuatkan diri untuk menerima takdir ini. Aku masih mempunyai abang dan kakak yang membantu aku untuk teruskan kehidupan walaupun kami hidup bersederhana. Aku bersyukur kerana masih mempunyai seorang datuk yang sangat menyayangi kami walaupun ia sudah uzur dan hanya mengharapkan kami untuk menjaganya. Dialah membuatkan kami kuat dan memberi semangat menjalani kehidupan yang mendatang. Kakak dan abangku lah yang menjadi penganti ibu bapa aku membesarkan dan memberikan kami pendidikan. Oleh kerana terdapat tiga orang lagi yang masih bersekolah mereka menyediakan kami kelengkapan persekolahan dan memberikan wang perbelanjaan harian kepada kami. Aku sangat kesiankan kakakku kerana sehingga kini ai tidak dapat berpindah keluar rumah mengikut suaminya kerana menjaga kami. Aku berjanji yang aku akan membalas jasa abang dan kakakku suatu hari nanti dan membanggakan mereka. Aku sangat sayangkan mereka, pengorbanan mereka terhadap aku tidak dapat aku lupakan. Masih banyak lagi yang aku ingin kongsikan dan luahkan namun masa tidak mengizinkan.  Sekian terima kasih kerana sudi membaca luahan hatiku ini. Assalamualaikum……………..

Tiada ulasan:

Catat Ulasan