Selasa, 27 Oktober 2015

PEMERHATIAN - Durian

Apabila terdengar sahaja ‘Durian’ pasti semua orang akan terliur dan terbayangkan kemanisan ulas buah yang kekuningan. Durian dikenali sebagai ‘raja buah’ oleh penduduk tempatan kerana buah yang sedap. Nama saintifik durian adalah” Durio zibethinus Murr”. Asal usul durian adalah dipercayai berasal dari Gugusan Pulau-pulau Melayu. Spesis lain yang terdapat di Malaysia dari jenis Durio dan buahnya boleh dimakan adalah termasuk Durio oxyleyanus, D.graveolens, D.dulcis dan D.kutenjensis.
Durian adalah buah tropikal yang berasal dari Asia Tenggara. Warna buah berbeza dari hijau ke perang dan mempunyai bentuk bujur sehingga bundar. Buah ini boleh memebesar sehingga 30 cm panjang dan  15 cm diameter, dan lazimnya mempunyai berat antara 1 hingga 3 kg. ciri- ciri durian adalah buah yang mempunyai kulit bersabut yang diselitupi dengan duri yang tajam, mencucuk, dan bau yang kuat dan unik yang terhasil dari isi didalam. Bahagian buah yang boleh dimakan adalah isi yang kekuningan yang menyelutupi biji benih. Pada kebiasaannya, pokok durian boleh berbuah selepas 4-5 tahun.  Terdapat banyak klon durian, kesemuanya mempunyai nama bermula dengan “D” dan diikuti dengan nombor. Sebagai contoh,sebahagian klon yang popular adalah D 24, D 99, D 158 dan D 159.
Di Malaysia, buah durian dibiarkan luruh sendiri setelah masak dan dipungut setiap hari.  Pada awal dan penghujung musim, buah dipungut sekali sehari (pada awal pagi) kerana bilangan buah yang luruh adalah sedikit.  Pada pertengahan musim, buah perlu dipungut dua kali sehari (pagi dan petang) kerana bilangan buah yang luruh memuncak.  Di Thailand, buah durian dipetik daripada pokok pada peringkat matang dan buah kemudian diperam hingga masak.  Penuaian dengan cara ini membolehkan buah disimpan lebih lama dan dihantar ke pasaran yang lebih jauh.  Oleh itu, kita sering melihat buah durian dari Thailand yang dibawa masuk ke negara kita begitu banyak dipasaran. Kadang kala bukan musim durian di negara kita tetapi terdapat durian yang dijual di pasar-pasar dan pasar malam di sekeliling kita.
Antara ciri-ciri durian klon D 24 ialah berasal daripada Bukit Merah,Perak. Pokok ini cergas membesar, rending dan rajin berbuah. Hasil purata pada peringkat awal (umur 6-9 tahun) ialah 10 biji sepokok setahun.  Hasil akan meningkat ke 65 biji setahun bagi pokok berumur 15 tahun dan ke atas. Bentuk buahnya bulat membujur, bersaiz sederhana besar dengan berat diantara 1.0 - 1.8 kg sebiji buah durian.  Pangsa mempunyai 1-3 ulas yang berwarna kuning pucat dan bersusun sebaris.  Isi manis, pejal, bertekstrur halus dan sedikit pahit. Peratus isi ialah 26%.  Pokok memerlukan tanah yang subur dan tidak tahan kemarau tanpa pengairan yang cukup.  Tempoh matang buah ialah 105-110 hari selepas bunga kembang.  Bijinya besar dan kebanyakannya merekah.
Durian klon D 99 pula  dipanggil Kop Kecil, berasal dari Thailand.  Pokok lasak tetapi lambat membesar.Pokok agak kecil tetapi rajin berbuah.  Pada peringkat awal (pokok berumur 6-9 tahun) hasil ialah 7 biji sepokok setahun.  Hasil akan meningkat ke 45 biji setahun bagi pokok berumur 15 tahun dan ke atas.  Di pokok, buahnya didapati dalam keadaan berjambak.  Saiz buah sederhana dengan berat diantara 1-2 kg. sebuah.  Buah durian D 99 berbentuk bulat tetapi dempak di bahagian pangkal dan hujung buah.  Kulitnya nipis berwarna hijau hingga hijau perang.  Durinya kecil, pendek dan tajam.  Buah boleh dikopek dengan mudah.  Bilangan ulas boleh mencapai sehingga 25 ulas bagi sebiji durian.  Isinya sederhana tebal, berwarna kuning terang dan tekstur isinya halus.  Pokok tahan terhadap kanker batang dan persekitaran kering.  Rasanya lemak manis.  Kebanyakan biji durian jenis ini adalah leper atau kesep.  Tempoh matang ialah 90-100 hari selepas bunga kembang.
Manakala, D 158 juga berasal dari Thailand dan nama popularnya 'Kan You' atau Tangkai Panjang .  Pokok sederhana besar dan tahan kepada keadaan kering.  Saiz buah durian ini adalah sederhana besar dengan purata berat diantara 2-4 kg. sebuah.  Warna kulitnya hijau perang, tangkai buah panjang (15-17 cm).  Buah berbentuk bulat bujur, kulit buah berwarna hijau perang dan durinya pendek.  Saiz ulasnya besar.  Isi tebal, ulas besar dan berwarna kuning keemasan, pejal sedikit bersabut dan rasanya manis.  Klon ini kurang beraroma jika dibandingkan dengan klon D 123.  Peratus isi buah ialah 32%.  Tempoh matang buah antara 130-140 hari selepas bunga berkembang.
Akhir sekali ialah D 159 yang dikenali sebagai 'Mon Thong' atau Bantal Mas.  Berasal dari Thailand dan popular di kawasan utara Semenanjung Malaysia.  Pokok sederhana besar, senang hidup apabila ditanam dan tahan kepada keadaan kering.  Hasil purata sepokok (berumur 10 tahun) ialah 60-100 biji semusim dan purata berat buah diantara 3.0-5.0 kg. Buah berbentuk bujur panjang dan bergelugur.  Bahagian hujung buah tajam dan membengkok sedikit.  Duri berwarna perang dan kasar.  Ulasnya besar, isi tebal, berwarna kuning emas, rasa yang manis, tekstur isinya halus dan berkrim dan kurang beraroma.  Peratus isi buah ialah 30-35%. Tempoh matang buah diantara 130-140 hari selepas bunga kembang.
Durian mempunyai pelbagai kegunaan dan khasiatnya yang tersendiri. Di Malaysia, durian merupakan buah yang paling popular untuk dimakan segar dan  di makan bersama pulut santan. Buah durian juga boleh dimasak menjadi lempok, jem dan tempoyak. Pada masa kini durian telah dipelbagaikan dalam masakan yang seperti durian creap, kuah durian, lempeng durian dan sebagainya. Buah durian juga boleh diproses dijadikan serbuk . Percubaan telah dibuat untuk mengeksport durian dalam bentuk sejuk beku. Terdapat petua yang membantu menghilangakan suhu badan yang panas dengan cara meminum air dari pangsa durian. Ini boleh dikatakan petua nenek moyang yang mencubanya pada masa dahulu yang agak releven digunakan pada masa kini.

Rajah 1: Durian menghasilkan Durian creap
 
Rajah 2: Buah Durian yang terdapat di rumah aku

Tiada ulasan:

Catat Ulasan